Tiada siapa boleh melawan qada' qadar Allah yang sudah menentukan segalanya untuk kita di dunia ini. Sama juga seperti kelahiran bayi istimewa.
Tidak ada ibu bapa yang mahu anaknya dilahirkan kurang upaya ataupun cacat, tetapi masih ada segelintir masyarakat kita yang tidak sensitif mengenai perkara ini.
Baru-baru ini, tular beberapa keping foto di media sosial mengenai bayi bernama Ayla Summer Mucha yang dilahirkan dengan penyakit bilateral microstomia iaitu kecacatan kongenital yang menjejaskan fungsi rongga mulut. Ekoran itu, bayi berkenaan digelar netizen sebagai 'baby permanent smile'.
Walaupun ramai netizen memuji kecomelan bayi itu, namun masih ada juga segelintir yang sanggup meninggalkan komen kritikan seolah-olah mengejek bayi berkenaan dengan menyamakannya dengan watak popular Hollywood iaitu Joker.
Individu yang meninggalkan komen seperti itu seolah-olah tidak mempunyai sensitiviti atau adab apabila melontarkan kata-kata yang mengatakan bayi tersebut adalah Joker sebenar. Pernahkah mereka berfikir bahawa mereka akan menyakiti perasaan ibu dan bapa bayi itu?
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa panas hati apabila membaca komen-komen negatif dari individu yang tiada sensitiviti dan dalam masa yang sama menanggap inilah punca utama sesetengah selebriti di Malaysia tidak mahu menunjukkan wajah anak mereka kerana bimbang akan dikritik. - CARI