Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, 37, memaklumkan dia menyambut baik saranan peminat yang mencadangkan agar aktor berkenaan membuka akaun peribadi di aplikasi TikTok.
Memetik laporan mStar, Hisyam yang mengakui dirinya seorang yang pemalu bagaimanapun tidak akan terlalu mengikuti trend semasa sebagai contoh menari dengan iringan muzik popular.
Sumber mStar
"Kalau orang lain mungkin dia tak kisah menari di TikTok tetapi saya adalah seorang yang pemalu. Muat naik video seperti itu bukanlah diri saya yang sebenar.
"Bagaimanapun, saya sedang mempertimbangkan untuk buka akaun TikTok sendiri. Sesuatu yang menarik untuk dilakukan apabila nama saya juga menjadi perbualan di medium berkenaan," katanya kepada mStar.
Disebabkan aplikasi tersebut digunakan secara meluas pada masa kini apatah lagi ramai rakan selebriti yang turut membuka akaun peribadi sendiri membuatkan Hisyam turut memikirkan perkara yang sama.
Namun, aktor terbabit masih belum memikirkan atau merancang bentuk kandungan yang akan dikongsikan menerusi platform tersebut.
"TikTok pada masa kini adalah medium yang bagus untuk meraih jumlah tontonan tinggi selain digunakan bagi tujuan pemasaran.
"Bagaimanapun, setakat ini saya belum terfikir jenis content yang akan dimuat naik nanti lagi pun saya belum pun terfikir untuk buka akaun sendiri," katanya.
Pelakon itu bagaimanapun teruja apabila dimaklumkan bahawa namanya sedang menjadi sebutan di TikTok dan ada peminat yang berkongsi suntingan klip drama lakonannya.
"Saya ada nampak banyak video suntingan dari drama lakonan saya yang dimuat naik dengan latar belakang muzik yang mereka sunting sendiri. Ada pula ramai peminat yang suka video sebegitu.
"Ramai anak muda yang guna TikTiok jadi tak salah kalau saya cuba di sana. Manalah tahu orang ramai boleh terima kandungan berbeza di aplikasi itu," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My