Vokalis baru kumpulan Search, Denden Gonjalez mengaku lebih selesa untuk tidak masuk campur mengenai pergeseran dan perpecahan membabitkan anggota kumpulan legenda berkenaan.
Menurut vokalis berasal dari Indonesia itu, dia sendiri begitu mengagumi Amy sebagai vokalis asal kumpulan terbabit. Namun, apa yang lebih utama baginya adalah untuk menunaikan amanah sehabis baik menjelang Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun depan. “Saya sendiri memandang tinggi dan mengidolakan Amy sejak dulu hingga sekarang. Beliau sendiri sudah menyanyikan lagu dendangan Search dengan baik.
“Saya tak mahu wujud istilah berlawan untuk membuktikan siapa lebih hebat. Pengalaman saya dan beliau amat berbeza. Masing-masing ada cara dan gaya tersendiri. Paling utama, kami bersaing secara sihat. “Sebab itu juga saya tak ambil pusing dan kisah fasal kontroversi mereka selama ini. Itu urusan mereka yang dulu. Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk konsert kelak,” katanya yang akan membuat persembahan bersama Din, Kid, Yan dan Minn pada konsert itu nanti. Denden juga menambah, dia sedar bukan haknya untuk menentukan sama ada dia lebih hebat daripada Amy atau tidak dan hal itu adalah terpulang kepada peminat dan pendengar. “Saya tak mahu mengulas kalau ada yang kata saya tidak setanding atau tidak sesuai dengan kumpulan Search. “Pastinya kerisauan saya itu tetap bersarang adakah peminat tidak boleh menerima kehadiran diri ini. “Namun saya tawakal. Pada akhirnya, ia terserah kepada pendapat masing-masing. Saya percaya setiap daripada kita ada pilihan dan minat masing-masing,” katanya lagi. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT