Mendirikan rumah tangga merupakan impian setiap pasangan bercinta terutamanya yang telah bercinta selama bertahun-tahun, pasti status menjadi seorang suami atau isteri merupakan momen paling dinanti-nantikan.
Bahkan, ada yang terus merisik ketika pertama kali bertemu dengan bakal menantu. Tidak disangka situasi sama berlaku kepada gadis ini apabila dia dirisik secara 'tiba-tiba'.
Kisah mengenai gadis itu dikongsikan pengguna Tiktok dikenali sebagai Nad. Menerusi perkongsian itu, kelihatan seorang gadis dan wanita berada dalam premis barangan kemas. Menurut penceritaan, gadis itu menemani teman lelaki serta bakal ibu mertuanya untuk membeli sebentuk cincin di Habib Jewels.
Selepas selesai membeli cincin, kelihatan teman lelakinya tiba-tiba merakam seakan-akan ingin mengambil gambar gadis itu dan ibunya. Rupa-rupanya, ibu lelaki tersebut ingin terus merisik teman wanita anaknya itu. Hal itu membuatkan gadis itu terkejut sehingga dia tersipu malu ketika disarungkan cincin.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada gadis itu dan dalam masa yang sama, ramai yang sempat memuji kecantikan wajah ibu lelaki tersebut. - CARI