Kepada yang tidak tahu, apabila kita berkunjung ke Tasik Dayang Bunting, Pulau Langkawi pasti kita akan melihat satu bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan terbaring dengan perut yang sedang bunting.
Sejak dari dahulu lagi tasik ini sangat popular di mana ada mitos yang mengatakan bahawa sesiapa yang mahu mendapatkan zuriat dengan cepat boleh berikhtiar dengan mandi atau berendam di tasik itu. Selalunya orang yang susah untuk mendapat zuriat pasti akan dinasihati oleh rakan-rakan atau keluarga sendiri untuk pergi ke tasik itu.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Royal Kaftan telah memuatnaik satu video di platform itu untuk memberitahu kepada orang ramai mengenai keberkesanan mitos tersebut apabila selepas seminggu wanita itu pulang dari tasik tersebut, dia akhirnya mengandung.
Namun perkara itu telah menimbulkan kerisauan ramai dan seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Malissa Ali juga tampil untuk meluahkan rasa kebimbangannya terhadap video tersebut kerana takut menyesatkan orang ramai.
Menurut Malissa, ikhtiar yang dilakukan oleh wanita itu ialah perkara khurafat dan boleh jatuh syirik kerana ia memesongkan akidah seseorang.
Ternyata ramai netizen yang turut bersetuju dengan kenyataan Malissa dan mengatakan bahawa amalan ini tidak seharusnya dilakukan terutamanya kepada individu beragama Islam. -CARI