Gelagat seorang lelaki menyamar sebagai anggota penguatkuasa dengan memegang alat ‘speed traps’ rekaannya sendiri telah mencuri tumpuan ramai.
Rakaman yang dikongsikan seorang pengguna media sosial, Fieza Mieza memperlihatkan lelaki berkenaan menggunakan ‘ring light’ dan beberapa barang lain seolah-olah sedang mengesan tahap kelajuan kenderaan yang melalui laluan tersebut. Menurut Fieza, lelaki tersebut merupakan bapanya dan sanggup bertindak sedemikian disebabkan berang dengan sikap sesetengah pemandu yang membawa kenderaan mereka melebihi had laju ketika melalui kawasan kampung. “Perangai ayah aku. Ayah buat macam ini, memang banyak kereta bawa perlahan bila nampak,” katanya.
Dalam pada itu, video tersebut menjadi tular sejak kelmarin dan rata-rata orang ramai terhibur dengan gelagat bapanya itu kerana kreatif dalam menangani masalah pemandu tidak berhemah. Ada juga pengguna yang sempat berseloroh mencadangkan alatan lain bagi lebih menampakkan seperti alat ‘speed traps’ yang sebenar agar dapat mengeliriku pemandu-pemandu berkenaan. “Terbaik la abang, kreatif, sama-sama kita tangani masalah pemandu ‘pelesit’ macam itu, memang ramai yang bawa laju jalan kampung, jalan sempit pun nak tunjuk lagak,” kata Fairuz. “Suruh ayah pegang alat pengering rambut, baru nampak lagi sebenar,” seloroh seorang pengguna. “Bagi ‘flash’ lampu, mesti lagi terkejut yang lalu, biar mereka takut sikit,” komen Syarina. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT