Lakonan Fasha Sandha sebagai Mira menerusi drama Dendam Seorang Isteri mengundang simpati daripada penonton kerana watak terbabit menjadi mangsa aniaya suami, ibu mentua dan rakan baiknya sendiri.
Bagaimanapun, Fasha yang membawakan karakter antagonis sebagai Hanimsya dalam rantaian Khilaf Asmara mencetuskan rasa geram dan sakit hati dalam kalangan penggemar karya berkenaan hingga dia menerima pelbagai ancaman.
Menerusi laporan Berita Harian, pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan mendedahkan dia menerima terlalu banyak komen negatif, carutan dan luahan tidah puas hati daripada mereka yang mengikuti kisah berkenaan.
"Saya minta maaf sekiranya karakter itu sangat keterlaluan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk menghidupkan watak Hanimsya.
Walaupun ramai yang mencarut, hendak sepak, pukul dan pecahkan televisyen malah ada juga yang mahu hala dan letupkan mercun roket atas muka saya tetapi terima kasih sebab menonton.
"Sebagai pelakon, saya hanya menjayakan watak mengikut kehendak skrip. Kalau ikutkan hati, saya sendiri pun rasa geram dengan Haninsya," katanya kepada BH Online.
Ibu kepada tiga orang anak itu juga menegaskan karakter yang dilakonkan dalam drama arahan Uchee Fukada itu bukanlah sikapnya di alam realiti.
"Ia hanya lakonan dan bukanlah sikap sebenar saya. Kalau ada yang 'panas' dengan Hanimsya, maknanya saya berjaya melakonkan watak itu. Saya bersyukur walaupun kena maki setiap hari.
"Ada banyak tangkap layat yang saya tidak dapat kongsikan kerana carutan yang diterima terlalu ekstrem. Bagaimanapun, saya harap penonton memandang dari sudut positif dan mengambil iktibar dari apa yang dipaparkan," katanya.
Selain Fasha, drama terbitan Radius One itu turut dibintangi Nelydia Senrose, Fattah Amin dan Fahrin Ahmad. -CARI