Sekeluarga dari Amerika Syarikat (AS) menjadi punca kekecohan dan panik di lapangan terbang antarabangsa Israel apabila membawa sebuah bom untuk dijadikan cenderahati ketika pemeriksaan keselamatan.
Kejadian berlaku Khamis minggu lalu apabila seorang daripada ahli keluarga itu mengeluarkan bom lama yang tidak meletup dan bertanya kepada pegawai bertugas, sama ada ia boleh diletakkan di dalam bagasi. Difahamkan, pemuda itu mengutip bom berkenaan ketika melawat Golan Heights, penempatan diduduki Israel dan mahu membawanya pulang ke AS untuk dijadikan cenderahati.
Saksi memberitahu, lelaki itu dengan selamba mengeluarkan bom daripada beg sandang dan meminta kebenaran untuk memasukkan ia ke dalam bagasi. Terkejut dengan 'hadiah' tidak disangka itu, seorang pegawai keselamatan mengarahkan kawasan sekitar bom dibersihkan, tetapi ada penumpang lain tersalah dengar dan mula menjerit 'pengganas menembak'. Jeritan itu menyebabkan panik dengan orang ramai menjerit, berlari dan berbaring untuk menyelamatkan diri, berdasarkan video pendek yang tersebar di media sosial. Bom lama itu dipercayai sisa perang Israel-Syria pada 1967 dengan kawasan Golan Heights paling banyak penemuan bahan letupan perang enam hari berkenaan. Pasukan keselamatan Israel kemudian melepaskan pemuda AS itu dan keluarganya untuk menaiki pesawat selepas hasil soal siasat yang mengesahkan mereka tidak memberi ancaman. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT