Walaupun Hari Raya tahun ini datang dalam keadaan 'mengejut', sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di seluruh negara kelihatan sangat meriah dengan sanak saudara selepas dua tahun diraikan dalam keadaan PKP. Sejak pengumuman Hari Raya tahun ini diawalkan, banyak perkara lucu yang dikongsikan netizen. Dari panik memasak juadah hari raya sehinggalah gelagat menyambut hari raya. Baru-baru ini, tular satu video dikongsikan pengguna Tiktok dikenali sebagai Mohd Muzamir menunjukkan satu keluarga sedang bertolak pulang selepas selesai ziarah raya di rumah saudara mereka.
Namun, tanpa mereka sedar, mereka telah meninggalkan ibu mereka di rumah tetamu berkenaan. Ketika itu, ibu mereka sedang membungkus makanan. Yang membuatkan ramai terhibur adalah ahli keluarga yang berada di dalam kereta berkenaan langsung tidak menyedari ketiadaan ibu mereka sehinggalah mereka mendapat panggilan mengenai perkara itu. Menurut perkongsian itu, anak-anak kepada wanita terbabit menyangka bahawa ibu mereka telah menaiki kereta lain. Nasib baik ketika itu mereka berada tidak jauh dari rumah berkenaan. Ketika mereka kembali untuk menjemput ibu mereka, kelihatan mereka sedang menahan malu sambil gelak berbahak-bahak. Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen sangat terhibur apabila melihat gelagat ahli keluarga itu. Pelik, kan? Selalunya kita akan melihat situasi ibu atau ayah tertinggal anak, tapi kali ini lain pula ceritanya. - CARI |
ADVERTISEMENT