Selebriti Rozita Che Wan adalah individu yang setiap tahun menyediakan lebih darip tiga persalinan untuk digayakan sempena sambutan Aidilfitri. Bagaimanapun, wanita yang mesra disapa sebagai Che Ta itu tidak mendedah jumlah baju rayanya pada tahun ini.
Memetik laporan Media Hiburan, wanita itu bagaimanapun akan berkongsi aktiviti sambutan lebaran mereka sekeluarga di laman sosial. Berdasarkan muat naik itu, netizen boleh mengira sendiri jumlah baju rayanya pada tahun ini.
"Kali ini saya tak nak cakap berapa pasang baju raya saya ada untuk sambutan tahun ini. Tak cakap salah, kalau cakap pun lagi salah.
"Tapi kalau nak kira juga, intailah perkongsian gambar di akaun Instagram saya musim raya nanti. Bukan Che Ta kalau entri IG tak penuh dengan gambar sesi fotografi.
"Ada juga baju raya yang belum sempat dipakai dibawa ke hadapan. Maklumlah, pandemik dua tahun lalu membataskan pergerakan. Tak boleh nak melaram sangat," katanya.
Sudah menjadi kebiasaan bagi aktres itu menyediakan persiapan persalinan baju raya untuknya dan keluarga lebih awal kerana enggan terkejar-kejar mempersiapkan keperluan meraikan Syawal.
"Buat awal sebab tak nak kalut. Jadi, bulan Ramadan boleh fokus dengan amal ibadat. Semua persiapan seperti baju, kain sampin, butang baju Melayu anak dan suami saya sediakan. Pemilihan warna sedondon itu juga harus.
"Selepas dua tahun kita sambut raya dengan norma baharu, tahun ini pun saya kekalkan juga. Cukuplah beraya dengan keluarga dan adik-beradik," katanya. - CARI