"Saya takkan marah dan melenting jika ada yang buat andaian saya curang, punca bercerai, isteri tak baik dan sebagainya."
Shakilla Khoriri, 33, tidak kisah dituduh bermain kayu tiga hingga menyebabkan rumah tangganya dengan Fizi Ali terlerai. Pemilik nama Nurul Shakilla Mohd Khoriri itu berkata, isu curang mungkin timbul berdasarkan apa yang didengari daripada orang lain mahupun Fizi. "Namun, itu saya tak tahu. Kalau ada yang menuduh saya main kayu tiga, saya tak boleh jawab ya atau sebaliknya. Jika saya keluarkan kenyataan termasuk mendedahkan punca perpisahan, ia bakal mengheret dan mengaibkan ramai pihak.
"Saya juga tidak mahu mengaibkan bekas suami atau sesiapapun. Jadi, perkara ini terlalu sulit untuk dijelaskan. Lebih baik saya berdiam diri. "Saya maafkan mereka yang membuat tuduhan. Mereka tidak berada dalam kasut saya, tinggal serumah dengan kami dan tidak tahu menahu apa sebenarnya yang terjadi," katanya kepada BH Online. Malah, Shakilla menegaskan dia tidak pernah menyalahkan bekas suami. "Tidak wujud juga saya mahu membalas dendam, kononnya bekas suami mencurangi saya. "Mengenali Fizi, dia bukan jenis suka buat hal. Saya baru hidup dengannya selama tiga tahun. Jujurnya, saya tidak tahu apa tersembunyi dalam hati Fizi. "Kalau Fizi buat hal di belakang, itu saya tidak tahu. Takdir yang tertulis ini adalah alasan kuat dan jelas, tetapi biarlah saya pendam sahaja. "Cukuplah, hanya Allah dan ibu bapa saya tahu. Kawan baik pun tidak tahu punca perceraian kami. Ia terlalu rumit untuk dikongsi," katanya. Shakilla juga meminta semua pihak berhenti mengungkit kisah berlaku antaranya dan Fizi. "Apa yang berlaku, biarlah kami sahaja yang tahu dan tak perlu diungkit lagi," katanya. Namun, dia mengakui masih menyayangi bekas suami kerana banyak memori indah dan susah senang bersama diharungi. Bagaimanapun, dia akan menumpang gembira sekiranya Fizi bertemu jodoh baru. - CARI
|
ADVERTISEMENT