Gara-gara membawa watak antagonis dalam drama raya berjudul Dodol Tak Bergula terbitan Suria FM, penyampai radio DJ Lin menerima banyak kecaman netizen.
Bagaimanapun, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, berkata, kecaman itu adalah bukti dia berjaya membawa watak tersebut dengan baik. “Memang betul sejak mula drama tersebut dimuatnaik di Youtube pada Jumaat lepas, ramai yang kecam kerana geram saya membawakan watak antagonis sehingga ada yang nak cilikan mulut saya. “Bukan hanya komen-komen di media sosial, ada juga yang hantar direct messege (DM). Teruk juga saya kecam.
“Saya tidak lihat kecaman itu untuk menghentam, tetapi ia membuktikan saya berjaya bawa watak tersebut dan peminat faham dengan jalan cerita yang ingin disampaikan,” katanya kepada mStar. Drama Dodol Tak Bergula menampilkan semua penyampai Suria FM bersama Wan Maimunah. Selain itu, segelintir peminat memuji lakonan berkesan DJ Lin dan mencadangkan supaya dia terus menerima tawaran berlakon dengan mana-mana produksi. Terbuka untuk mencuba bidang baharu, DJ Lin bagaimanapun meletakkan syarat tertentu jika dia mahu menerima sebarang tawaran.
“Saya sendiri macam tak percaya sebenarnya boleh berlakon. Dalam drama tersebut saya memang buat all out sebab bergandingan dengan pelakon hebat Wan Maimunah. Saya tak mahu hampakan dia. “Jika ada tawaran berlakon selepas ini, saya terbuka. Tetapi adalah syaratnya, kalau boleh saya mahu bawa jenama Suria FM dan tempoh masa penggambaran tidak terlalu lama kerana saya juga harus memberi tumpuan kepada tugas di stesen radio,” ujarnya.
Drama Dodol Tak Bergula membariskan kesemua penyampai radio Suria FM sebagai pelakon utama selain turut menampilkan pelakon hebat Wan Maimunah. Drama ini membawa kisah Mak Leha lakonan Wan Maimumah yang mengharungi pelbagai liku hidup di kampung dan berdepan dengan kata-kata tidak betul tentang dirinya. DJ Lin yang memegang watak Lin pula merupakan saudara kepada Mak Leha dan menyimpan dendam akibat perebutan harta pusaka. Melihat drama tersebut berjaya mendapat sambutan ramai sehingga menjadi trending di Youtube, DJ Lin meluahkan rasa syukur dan berterima kasih dengan keluarga kecil Suria FM yang telah banyak memberi kerjasama.
“Saya bersyukur dan bangga dengan semua tenaga produksi kerana pasukan kami tidaklah ramai. Semua hasil kerja ini adalah usaha kami sendiri dan ia telah berjaya. “Semua kakitangan Suria FM telah menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka untuk sama-sama menaikkan nama stesen radio ini. Saya anggap ia adalah satu anugerah terindah dalam bulan Ramadan,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi kajian soal selidik radio yang dikeluarkan baru-baru ini, Suria FM berjaya mendapat sebanyak 350,000 jumlah pendengar baharu selain purata 3.5 juta pendengar setiap minggu. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|