Personaliti fesyen Mohd Azwan Md Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan semula perniagaannya yang sebelum ini terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
Wak yang juga aktif berlakon bagaimanapun terpaksa melupakan seketika minatnya terhadap dunia seni kerana ingin memberikan tumpuan menguruskan serta mengembangkan bisnes pakaiannya.
"Perniagaan saya terjejas akibat pandemik Covid-19. Saya melalui waktu yang sukar dan peralihan ke fasa endemik ini saya gunakan untuk bangunkan semula perniagaan.
"Ada juga terima tawaran berlakon. Sejujuranya ia meletakkan saya di posisi dalam dilema kerana bidang seni pun saya minat juga.
"Bagaimanapun, saya rasa adalah lebih baik saya fokus pada perniagaan dan sekiranya ada masa lapang barulah saya terima tawaran lakonan," katanya kepada mStar.
Diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan Wak adalah anak emas Datuk Yusof Haslam kerana dia kerap menerima tawaran lakonan daripada penerbit terkenal berkenaan, selebriti berusia 49 tahun itu menafikan perkara tersebut.
Isu itu timbul apabila Wak turut berlakon dalam filem Abang Long Fadil 2 serta menerima tawaran lain daripada syarikat produksi milik penerbit berkenaan.
"Kalau ada yang anggap saya anak emas Datuk Yusof... terpulanglah. Itu adalah rezeki apabila ditawarkan berlakon dari produksi sama.
"Saya sebenarnya tak berapa suka menonton drama dunia perniagaan dan korporat. Saya lebih suka lakonkan watak mengenai realiti kehidupan sebenar mereka yang hidup susah.
"Saya juga lebih suka jadi pengacara untuk program travelog sebab saya dapat jumpa ramai orang serta melihat perkara baharu," katanya. - CARI