Pelawak dan pelakon Joey Daud sama sekali tidak menyangka lukisan mural hasil lakarannya di sekitar bandar Muar berjaya menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Selebriti berusia 49 tahun itu turut meluahkan rasa gembira apabila Baginda bukan sahaja menyukai hasil sentuhannya, tetapi juga telah menitahkan Joey untuk menyiapak 12 lukisan di Muar dan tiga di Tangkak.
Berkongsi berita itu kepada media tempatan, Joey bagaimanapun berharap agar dia dapat menyiapkan kesemua lukisan berkenaan dalam masa ditetapkan.
"Awalnya saya hasilkan tiga mural untuk Majlis Perbandaran Muar dan Baginda yang pada ketika itu kebetulan berada di sana untuk bersarapan telah melihat lukisan tersebut.
"Baginda yang menyukai konsep ditonjolkan kemudian meminta saya melukis 15 mural lagi dan ia perlu disiapkan tahun ini.
"Sebenarnya, ramai yang hantar tender, bagaimanapun Baginda menyukai idea dan konsep yang saya ketengahkan," katanya.
Pemilik nama sebenar, Zulkifli Daud itu berkongsi perkara berkenaan dalam satu temu bual ketika sidang media filem Jango.
Mengulas pembabitannya dalam karya tersebut, Joey tidak pernah menganggap bahawa usia seseorang pelakon itu menjadi penghalang bagi individu terbabit menggalas watak utama.
Suami kepada pelakon Watie Sadali itu percaya bahawa penonton sudah semakin bijak untuk menilai bakat pelakon dan bukannya bersandarkan pada rupa dan populariti semata-mata. - CARI
Sumber: Harian Metro & mStar