Seorang remaja berusia 18 tahun ditemui maut dalam Proton Satria miliknya yang diparkir di hadapan sebuah kedai perabot di Ketereh semalam.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 10.05 pagi. "Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keadaan berbaring dan tempat duduknya direndahkan ke bawah," kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud kepada Sinar Harian pada Selasa. Beliau berkata, semasa ditemukan mangsa berpakaian lengkap dan tiada sebarang kesan pecah pada kereta remaja berkenaan.
Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati ketika kejadian kereta tidak berkunci dan semua barangan mangsa berada di sampingnya. "Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada apa-apa kesan luka atau unsur jenayah. Mayat remaja berkenaan kemudian dibawa ke unit forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. "Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian mangsa berpunca daripada pendarahan pada paru-paru yang disyaki kesan terhidu gas di dalam kereta," katanya. Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Ketereh. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT