Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu. Begitulah peribahasa yang sesuai digambarkan buat seorang pelakon baharu ini.
Baru dua tahun menyulam kerjaya dalam lakonan, nama figura ini sudah meniti dari bibir ke bibir orang ramai dengan bakat lakonan yang dimilikinya. Selain itu, ada pula yang menyamakan dirinya dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini. Kata orang, wajah mereka persis, salin tak tumpah samanya. Lebih-lebih lagi nama mereka pun lebih kurang sama sahaja. Bagi Rita Nadira, itu bukan perkara baharu. Malah, sejak di bangku sekolah lagi, figura tinggi lampai ini sudah terbiasa disamakan wajahnya dengan pelakon tersebut. Ada pertalian darah? Tidak, jawabnya.
“Saya tiada apa-apa hubungan kekeluargaan dengan Rita Rudaini. Sebenarnya kalau muka sama dengan pelakon itu dari sekolah lagi sudah dengar. “Waktu itu Rita Rudaini sangat terkenal dengan filem Mami Jarum dan sebagainya. Saya pun bangga lah. “Sehingga semasa saya melakukan ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semasa berumur 18 tahun, pegawai itu tanya ‘awak adik beradik Rita Rudaini ya?” dedahnya ketika ditemu bual.
Sambungnya lagi, ‘malas’ mahu perjelas, pelakon drama Jangan Menangis Cinta kadang-kadang mengiyakan sahaja apa yang ditanya. Mengulas lanjut, jika diberi peluang berlakon satu set bersama pelakon filem popular Mami Jarum Junior itu, jawapannya adalah ‘ya!’.
“Disebabkan saya terlalu penat dari sekolah rendah lagi kan, saya pun iyakan sahaja. Saya okey sahaja jika orang ramai masih menyamakan saya dengan dia. “Malah, saya lagi nak mencuba berlakon dengan dia. Insya-Allah, suatu hari nanti berpeluang untuk berlakon dengan dia, mana tahu kan,” ujarnya.-CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|