Pernah diuji dengan masalah Bell Palsy pada akhir 2020 hingga menyebabkan sebahagian wajahnya lumpuh ketika mengandung dan kemudian melahirkan anak kedua seminggu selepas itu.
Bagaimanapun, pelakon Faye Kusairi sentiasa positif dan menerima ketentuan takdir dengan tabah. Berkat kesabarannya menjalani rawatan, Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 35, kembali pulih dan kini aktif semula berlakon. "Saya baru 'shooting' semula tahun ini. Setahun saya memang rehat dari kerja kerana nak fokus pada anak. Bila anak dah umur setahun, senang sikit saya nak bekerja semula.
"Banyak juga tawaran dari hujung 2020 hingga tahun lalu semuanya terpaksa ditolak kerana saya nak bersalin, selain kena Bell Palsy. "Itu belum termasuk bayi 'melekat' dengan saya dan risaukan Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadinya, tahun ini baru saya dapat 'shooting' semula," katanya. Faye yang turut aktif dalam permotoran turut ditawarkan menyertai pasukan Toyota Gazoo dan pasukan lumba BHP petrol pada tahun lalu, namun terpaksa ditolak atas kerisauan yang sama. "Bermula Januari lalu, saya terus 'shooting' sampai sekarang. Awal Ramadan lalu saya tampil dengan telefilem Adik Kakak di TV3 diikuti dengan Do You Love Me Captain dan sekarang 7 hari Mencintaiku 3 di TV3. "Dah rezeki saya semua drama keluar bulan Ramadan. Semua drama ini sebenarnya dipersetujui sejak tahun lalu. Cuma 7 Hari Mencintaiku 3 sahaja dipersetujui pada 2020 kalau tak silap saya. "Alhamdulillah selepas raya saya mulakan drama baharu dengan Creative Skill Solution untuk TV9. Nak kata jadual terlampau padat itu tidak, tapi kira okeylah. Apabila dapat cuti, saya memang peruntukan untuk keluarga," katanya. Faye turut bersyukur kerana selain berlakon dia juga dilantik sebagai 'muse' untuk koleksi Raya Bloom Asha Karim x Zarina Zainuddin untuk tahun ini. Pelakon yang bernaung di bawah pengurusan Rubbertapper Production ini berkata, dia bersyukur dapat membawakan watak berbeza seperti Syakila dalam 7 Hari Mencintaiku dan Harlina (Do You Love Me Captain). "Alhamdulillah... dapat membawakan kedua-dua watak ini. Namun, rasa kekok sebab saya tak berapa yakin bawa watak komedi. Saya tak rasa saya seorang yang pandai hiburkan penonton melalui komedi. "Namun, saya sebenarnya sukakan watak cacat dalam Adik Kakak kerana jarang dapat watak mendalam sebegitu. Sebagai Syakila dalam 7 Hari Mencintaiku, memang ramai yang geram dengan dia. "Jadi, musim ini penonton nak dan jangka Syakila bertaubat dan baik. Memang majoriti teruja dengan semua watak dalam drama ini dan saya sangat berterima kasih terbabit dari musim pertama sehingga terbaharu," katanya. Faye berkata, dia menceburi lakonan kerana minat, manakala populariti akan datang selepas itu seiring hasil kerja yang diperlihatkan. "Jadi, ada keperluannya di situ. Cabarannya sekarang ialah untuk kekal relevan dalam industri. Saya tiada apa-apa rahsia kecuali buat kerja saya sebaiknya, hormat orang lain dan mudahkan kerja semua orang dan berdoa. "Namun, tak dinafikan suami saya (Azmi Hatta) memang banyak bantu dalam mematangkan lagi lakonan dan pemahaman saya dalam kerja," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT