Tidak dinafikan, punca pendapat utama bagi seorang penghibur adalah berdasarkan undangan nyanyian yang diterimanya.
Bagaimanapun, bagi vokalis kumpulan Spring, Ameng tetap bersyukur walaupun tidak menerima sebarang undangan sepanjang bulan Ramadan ini.
Bagi penyanyi berusia 54 tahun itu, ketiadaan tawaran kerja adalah peluang baik untuk fokus beribadah apatah lagi bulan puasa ada masa terbaik menggandakan pahala. Oleh itu, dia menggunakan masa terluang itu dengan membaca Al-Quran dan solat terawih.
"Tidak ada salahnya meluangkan masa selama sebulan untuk beribadah kerana dalam setahun ada 12 bulan. Tak perlu kejar semuanya dalam bulan ini sebab sebelum ini pun sudah sibuk dengan kerja. Oleh itu, saya tak mahu lepaskan peluang dan mahu sempurnakan ibadah semampu saya.
"Memang saya rancang begitu sebab nak fokus pada ibadah puasa dari solat subuh di masjid, baca Al-Quran, terawih dan lain-lain lagi. Sebab itulah saya rasa tak apa pun kalau tak ada job bulan ini. Boleh fokus pada ibadahnya," katanya.
Memetik laporan Rotikaya, pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail itu bagaimanapun mengakui pendapatannya terjejas tetapi dia mengamalkan sikap berjimat-cermat bagi menampung keperluan.
Sekian lama tidak bekerja, dia baru sahaja menerima satu atau dua tawaran nyanyian sejak industri seni kreatif dibenarkan beroperasi semula.
"Penyanyi lain sudah mula rancak dengan tawaran menyanyi manakala saya pula belum ada lagi. Sebelum ini saya ada juga terima tawaran tetapi dibatalkan sebab salah seorang anggota Spring positif Covid-19. Tidak mengapalah. Saya duduk rumah sahaja baca al-Quran," katanya. - CARI