Enggan insan tersayang terheret menjadi mangsa kecaman dalam media sosial, pelakon, pelawak dan pengacara, Zulin Aziz, 33, terlebih dahulu menasihati suaminya, Farhan Norzaini, 35, mengabaikan komen negatif yang bertujuan memancing emosinya.
Zulin yang mendirikan rumah tangga dengan Farhan pada 20 Februari lalu mengambil pendekatan memadam komen yang dirasakan tidak sesuai agar isu dibangkitkan netizen terhadap hantaran dimuat naik tidak berlanjutan. "Sejak awal lagi, saya sudah ajar suami agar elakkan diri daripada membaca komen netizen. Saya pula jenis suka padam komen berunsur negatif.
"Ada juga yang bertanya, kenapa saya padam komen? Kita ada kuasa mengawal media sosial. Kenapa mahu membiarkannya dan menjaga hati orang yang komen buruk kepada kita? "Sepatutnya, kita ada hak ke atas platform media sosial kita sendiri dan buang benda yang dirasakan tidak memberi sebarang manfaat," katanya kepada BH Online.
Tambah pemilik nama lengkap Farah Azleenda Abdul Aziz itu, dengan memadam komen negatif yang ditinggalkan netizen, tindakannya dapat membendung komen lain terus merebak. "Biasanya, kalau ada ada yang berani tinggalkan komen berbaur negatif, pasti komen sama akan berangkai-rangkai. "Sebelum komen ini merebak dan diperbesarkan, lebih baik saya putuskan sahaja rantaian itu. Tak perlu untuk saya nak balas balik. Orang seperti ini hanya mahukan perhatian. "Kalau saya balas, mereka lagi suka. Jika betul nak beri nasihat, ada cara lain yang lebih elok yang boleh digunakan," ujar pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Pilih Kasih ini.
Berkongsi pengalaman bergelar isteri, Zulin mengakui agak janggal kerana kini tinggal bersama suami. "Sebelum ini, kami hanya rakan kongsi. Sebelum berkahwin, kami balik ke rumah masing-masing. "Tetapi, sekarang kami pulang ke rumah bersama-sama. Dari segi hubungan, kami biasa-biasa sahaja. "Nak kata 'sweet' sangat tiadalah pula. Lagipun, kami memang tidak tahu nak tunjukkan sifat 'sweet' di hadapan khalayak.
"Suami romantik, tetapi bukan jenis nak menunjuk-nunjuk depan orang. Bila nak buat benda begitu jadi geli," katanya. Terdahulu, Zulin dan Farhan mendirikan rumah tangga selepas dua tahun mengenali hati budi. Farhan menerima Zulin sejak masih berbadan besar, bukannya ketika sudah langsing dan semakin bergaya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|