nak kedua pasangan pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli iaitu Ayra Aryssa, 2, dijangkiti penyakit kawasaki dan sedang ditahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sejak Selasa lalu bagi rawatan lanjut.
Amar, 37, berkata kepada Harian Metro bahawa anaknya mula demam panas sebelum simptom penyakit tersebut mula menyerang ke seluruh tubuh Ayra termasuk muka.
"Selasa lalu, Ayra demam panas dan kami terus bawa ke hospital. Sehingga semalam pun suhu badannya masih tinggi. Kesang jangkitan mulai naik di badan pada Rabu.
"Sekarang ini pula sudah satu badan sampai muka. Kami dapat rasakan dia sedang menahan sakit. Dia tak nangis tapi nampak sangat dai tak selesa. Semua serba tak kena," katanya.
Punca penyakit yang menimpa anaknya itu bagaimanapun belum dikenal pasti. Walaupun ia kebiasaannya menyerang kanak-kanak berusia di bawah lima tahun namun menurut doktor, ia sangat jarang berlaku.
"Tak tahu macma mana boleh berlaku. Setiap hari jururawat datang ambil darah. Doktor pun belum cakap lagi berapa lama masa diambil untuk sembuh. Hari ini pun dia akan buat ujian electrocardiogram (ECG)," katanya.
Sementara itu, Amyra menerusi hantaran di Instagram Story turut berkongsi keadaan anaknya serta paparan gambar menunjukkan ruam merah yang memenuhi tubuh anaknya.
"Saya baca semua mesej (DM) dan komen tetapi tidak berkesempatan nak balas. Maaf sangat. Semua dah reda nanti saya balas. Terima kasih mendoakan Aryssa," tulisnya.
Untuk rekod, penyakit kawasaki adalah keradangan saluran darah (vaskulitis) terutamanya membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.