Penyanyi rap, Chubb-E baru-baru ini dikecam teruk apabila gambar daripada salah satu babak dalam video muzik (MV) lagu baharunya memaparkan seorang wanita separuh bogel tular di laman sosial.
Katanya kepada Mstar, adegan yang diselitkan lagunya yang berjudul Rambang adalah idea asal daripada ibunya sendiri.
Pemilik nama sebenar, Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy berkata, setiap pergerakkannya dalam dunia seni hiburan tidak dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga.
"Saya berharap babak tersebut boleh dikekalkan dalam MV sebab ia adalah idea asal ibu. Dia bagi buah fikiran untuk babak berkenaan dan dia jugalah yang cari model dari Ukraine itu.
"Apa yang saya tunjuk walaupun netizen tak suka, semua keluarga tahu. Saya tidak akan sesekali lakukan perkara yang keluarga tak suka," katanya.
"MV tersebut dirakamkan pada Februari lalu sebelum timbul isu berkaitan dengan seorang pelakon. Pada saya, babak itu tidak ada masalah pun tetapi apabila isu seperti ini timbul, saya terpaksa buang.
"Sebab saya pun jadikan MV Joe Flizzow dan Caprice sebagai rujukan. Mereka pun ada MV yang memaparkan wanita hanya memakai bikini.
"Tetapi sekarang ini netizen sensitif, kadang-kadang sensitif tak bertempat. Yang peliknya, apabila babak itu tiada, netizen geram. Tapi bila ada mereka kecam," katanya yang pernah berlakon sebagai Botol dalam siri Projek: Anchor SPM.