Selebriti yang mencipta nama menerusi siri filem High School Musical, Vanessa Hudgens mendedahkan dia mempunyai banyak pengalaman berkaitan dengan aktiviti paranormal.
Penyanyi dan pelakon yang berkongsi perkara tersebut dalam program The Kelly Clarkson Show menganggap kebolehannya untuk melihat dan bercakap dengan hantu adalah satu anugerah.
"Tidak dinafikan, sesuatu yang tidak kelihatan itu menakutkan tetapi baru-baru ini saya katakan kepada diri sendiri bahawa ia adalah satu kelebihan.
"Saya berkemampuan untuk melihat perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain jadi saya akan berpegang pada keistimewaan ini.
"Saya masih ingat, ketika usia saya lapan tahun dan sedang bersiap ke sekolah. Ada mainan itik yang akan bergerak apabila tali pada bahagian belakang ditarik, ia tiba-tiba ada di sebelah saya bergerak mengikut langkah saya," kata wanita berusia 33 tahun itu yang berkongsi lebih banyak butiran mengenai dakwaannya yang memiliki kuasa ghaib.