Penyanyi Zamani Slam, 51, mengakui ada sedikit kebimbangan dalam dirinya andai diberikan tawaran untuk menjadi juri atau tenaga pengajar dalam sesebuah program pencarian bakat menyanyi.
Katanya, individu yang terbabit dengan program seperti itu perlu teliti dan fokus setiap kali mengadili peserta bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam membuat keputusan.
Katanya kepada Harian Metro, dia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya menerima tawaran sedemikian. Andai penerbit program merasakan dia layak untuk menggalas tanggungjawab tersebut, dia akan menerimanya dengan hati terbuka.
"Untuk menilai seseorang ini bukan mudah. Pertama, saya takut tersilap. Yang kedua, saya juga adalah seorang penyanyi.
"Bimbang nanti tersilap membuat pilihan. Kalau ingin berikan komen pun perlu ada maklumat terperinci mengenai peserta," katanya.
Pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza 5 pada 2018 itu mengakui kerap menyertai pelbagai program pencarian bakat di televisyen kerana ia penting untuk kekal relevan dalam industri.
"Membuat kemunculan dalam program yang mempunyai reputasi baik itu membantu karier. Ia dapat menaikkan semula nama saya," katanya yang tampil dengan lagu Salah Apa kolaborasi dengan anak saudaranya, Zynakal. -CARI