Penyampai radio DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid enggan menyimpan dendam terhadap individu yang cuba mengenakan sihir ke atas dirinya.
Walaupun keadaannya pada ketika itu ibarat nyawa di hujung tanduk, wanita itu bagaimanapun tetap berlapang dada memaafkan insan terbabit.
Sejak beberapa tahun lalu, hospital umpama rumah kedua wanita itu kerana kekerapannya yang sering keluar masuk pusat perubatan disebabkan gangguan kesihatan yang dialaminya. Situasi paling teruk dihadapi oleh Dj Lin adalah pada 2021 apabila dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sembilan hari.
Walaupun perit untuk dilalui namun pesanan ibu tercinta membuatkan wanita itu sentiasa memberikan kemaafan selain kehadiran Ramadan menguatkan lagi semangatnya agar terus kuat berhadapan ujian.
"Pada masa itu, saya rasa macam ajal sudah semakin dekat. Boleh dikatakan saya sudah koma hinggakan orang sekeliling yang melihat keadaan saya pun reda andai ajal menjemput pada waktu itu.
"Bagaimanapun, ibu dan dua orang anak adalah kekuatan saya untuk berjuang melawan kesakitan. Mereka selalu mendoakan kesejahteraan saya.
"Emak selalu nasihat agar saya memaafkan mana-mana orang yang berniat menyakiti saya walaupun individu tersebut 'beri' macam-macam. Kita ada Allah dan saya harap orang itu pun berubah ke arah kebaikan," katanya kepada K! Online.
Bertapak lebih dua dekad dalam industri penyiaran radio, DJ Lin mengakui dia terkilan dengan sikap segelintir individu yang masih menggunakan cara syirik untuk melampiaskan ketidakpuasan hati mereka.
Wanita berusia 47 tahun itu bagaimanapun tidak mahu menuduh mana-mana individu kerana dia hanya ingin diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sedia kala demi membesarkan anak-anak dan menjaga ibunya.
"Kesakitan yang saya rasai itu seperti tubuh dihancurkan. Rasa sakit yang sukar untuk saya perincikan walaupun hasil pemeriksaan mengesahkan semuanya baik dan tidak ada masalah.
"Saya hanya mampu berserah kepada Allah. Dia sebaik-baik perancang. Alhamdulillah, syukur saya masih mampu bangun dan menjalankan tanggungjawab menguruskan Suria FM serta bersiaran dalam segmen Suria Cinta.
"Sesiapa sahaja pun pasti akan berhadapan dengan dugaan. Cuma koita hanya perlu fokus pada kehidupan sendiri," katanya yang baru-baru ini diiktiraf dalam Women of Excellence Awards 2021/22 anjuran majalah The CEO. - CARI