Apabila bercakap mengenai usahawan tempatan yang sejak kebelakangan ini bagai cendawan tumbuh, mentaliti sesetengah rakyat Malaysia seolah-olah sudah 'dibasuh' apabila menjadikan kereta mewah yang dimiliki oleh peniaga sebagai kayu pengukur kejayaan mereka menjalankan perniagaan yang diusahakan.
Pun begitu, realiti sebenar tidaklah sama seperti yang dilihat oleh mata masyarakat. Dalam situasi tertentu, ada individu tertentu yang sanggup menyewa kereta mewah atas tujuan menunjuk-nunjuk sekali gus meraih kepercayaan orang lain untuk melabur dalam perniagaan yang dijalankan.
Menerusi Facebook, seorang lelaki dikenali sebagai Hairul Nizam Hashim berkongsi pengalamannya yang pernah terjebak menggunakan taktik sama untuk mendapatkan kepercayaan dan sanjungan daripada orang sekeliling.
Dua belas tahun lalu, Hairul yang memiliki sebuah syarikat MLM sanggup membeli kereta Alphard dan melakukan modifikasi ke atas kereta tersebut menelan belanja ribuan ringgit. Katanya, dia menggunakan kenderaan terbabit bukanlah untuk keselesaan namun tujuan utamanya adalah untuk 'show off'.
Awalnya, bayaran kereta tersebut tidak mempunyai sebarang masalah. Kereta itu dikatakan akan dipakai oleh majikan syarikat bagaimanapun ia dijadikan hadiah skim MLM. Kereta itu menjadi milik kepada tuan baharu yang berada jauh di negeri pantai timur.
Masalah mulai timbul apabila pemilik baharu menerima kereta tersebut atas nilai 'hadiah' maka tidak ada lagi bayaran bulanan yang diterima oleh pihak bank. Keadaan menjadi rumit apabila pemilik baharu terbabit meninggal dunia dan waris tidak tahu apa-apa pun mengenai perkara tersebut sehinggalah pihak bank bertindak untuk menarik semula kereta berkenaan.