JAKARTA: Satu video yang memaparkan seorang lelaki di Palembang membuat laporan polis kerana menjadi mangsa penipuan ketika pertama kali membeli ganja, menjadi tular di media sosial.
Lapor Kompas, lelaki yang merupakan pemandu e-hailing motosikal, mendakwa dia ditipu semasa membeli ganja apabila hanya mendapat rumput. Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @palembang_bedesau. Dalam video tersebut, lelaki itu mengunjungi balai polis Palembang bersama bungkusan berisi rumput, untuk membuat aduan.
Lelaki itu juga mengaku membayar 50,000 rupiah (RM14.67) untuk membeli ganja namun kecewa setelah mendapati hanya diberikan rumput. “Saya bayar 50,000 rupiah tuan, saya sudah bayar wang tapi hanya diberi ini (rumput), saya kerja sebagai pemandu e-hailing,” kata lelaki itu. Seorang anggota polis yang merakam video itu menanyakan lelaki itu mengenai bungkusan dibawanya. Lelaki itu pula menjawab ia hanya mengandungi rumput. Aksi yang dipaparkan dalam video tersebut mengundang gelak tawa para warganet. Malah, beberapa warganet turut memuji keberanian lelaki itu yang sanggup membuat laporan polis kerana jujur walaupun tertipu ketika membeli ganja. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT