"Jumlah tunggakan sehingga Februari lalu sebanyak RM33 juta dan angka berkenaan sangat tinggi."
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor mendedahkan 271,876 pengguna di Kelantan gagal membuat pembayaran menyebabkan RM33 juta tunggakan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terkumpul sehingga Februari tahun ini, lapor Harian Metro. "Justeru, saya memohon mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang turun padang supaya memaklumkan kepada rakyat untuk membayar bil air," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (Pas-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Azami menjawab pertanyaan Rohani mengenai sejauh mana program penukaran paip Asbestos Cement (AC) berusia melebihi 35 tahun dengan kos RM1.3 bilion bermula 2018 hingga 2030 sedang berjalan. Berhubung projek berkenaan, Azami yang juga Adun Kadok berkata, panjang paip yang berusia 35 hingga 40 tahun yang perlu ditukar adalah 4,006 kilometer. "Menerusi program pertukaran paip menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), bagi 2018, kita menyiapkan 241 kilometer untuk tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat. "Pada 2019 pula, kita menyiapkan sepanjang 225 kilometer membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang. "Untuk makluman, pinjaman berkenaan perlu dibayar dan salah satu punca hasil AKSB adalah apabila pelanggan membayar bil air," katanya. - CARI
|
Kelantan umum air percuma sepanjang Ramadan
N Faizal Ghazali - MalaysiaKini
Diterbitkan: Mar 31, 2022 12:09 PM
⋅
Dikemaskini: 12:13 PM
DUN KELANTAN l Kerajaan negeri mengumumkan pengecualian bayaran bil air kepada pengguna di Kelantan tetapi hanya melibatkan bil yang tidak melebihi RM30 sebulan sepanjang Ramadan.
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata ia membabitkan 146,660 akaun pengguna yang membabitkan kos sebanyak RM3 juta.
"Kita akan menghadapi bulan Ramadan beberapa hari sahaja lagi. Sempena Ramadan, kerajaan negeri melihat perlunya sepanjang Ramadan untuk bagi pengguna yang menggunakan khidmat AKSB tidak lebih RM30 sebulan dikecualikan bayaran dalam tempoh sebulan.
"Ia membabitkan 146,660 penggunaan akaun dengan kos keseluruhan sebanyak RM3 juta," katanya.
Ahmad berkata demikian ketika membuat pengumuman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan kerajaan negeri memberi potongan bil air sebanyak 50 peratus kepada pengguna yang mengalami masalah gangguan bekalan air di negeri itu.
Menurutnya, potongan itu bagi meredakan kemarahan rakyat yang terkesan dengan masalah air yang melanda sejak beberapa tahun yang lalu.
Menjelaskan lanjut, kata Syahbuddin ia sebagaimana yang dialami di kawasan DUN Galas, Gua Musang dengan 3,000 keluarga termasuk 1,500 di kawasan bandar yang terjejas masalah air.
ADVERTISEMENT