Penyanyi, Beby Acha yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin mengakui sama sekali tidak kecil hati dengan kritikan netizen kerana itu adalah salah satu cara untuk mengetahui kesilapan yang dilakukannya tanpa sedar.
Aktif di aplikasi TikTok, pemilik nama sebenar Nur Aishah Md Shari itu sering menerima teguran mengenai pakaian serta gaya tarian yang dipamerkan dalam perkongsian video di media sosial tersebut.
Pun begitu, wanita berusia 31 tahun itu terguris hati apabila ada segelintir warganet yang mengaitkan perbuatannya itu dengan arwah abangnya. Perkara itu menyebabkan emosi Acha terganggu apatah lagi hal yang diulas oleh netizen sama sekali tidak ada kaitan dengan allahyarham.
"Abang sudah tiada tapi dia masih lagi dikaitkan apabila mereka ingin tegur cara pemakaian saya atau hal-hal lain. Jujur, setiap kali terbaca komen menyebut arwah, saya rasa nak marah tapi kena sabar.
"Perkara yang membabitkan keluarga memang hal sensitif. Apatah lagi individu yang mereka sebut itu adalah arwah abang yang memang ramai orang kenal. Yang buat salah itu saya, bukan anggota keluarga lain.
"Kecam saya sahaja. Jangan babitkan orang lain terutama sekali arwah abang. Saya rasa terkilan," katanya kepada Mstar.
Acha yang juga kakak kepada Tajul itu selalu meluangkan masa untuk membaca semua komen yang ditulis oleh netizen kerana ada yang boleh dijadikan panduan untuk perbaiki diri sendiri.
"Adakalanya kita tidak sedar kita buat salah sehinggalah mereka tegur. Barulah kita tahu apa yang silap dan boleh perbaiki diri sendiri. Kalau ada komen yang saya rasa tak betul, saya abaikan saja," katanya.
Tambahnya lagi, dia menggunakan medium TikTok sebagai medan untuk mempromosikan lagu serta melakukan 'challenge' untuk menarik ramai pengikut di aplikasi berkenaan. -CARI