Sejak tularnya isu lakonan adegan panas aktor, Zul Ariffin dan pelakon baharu, Siti Hariesa, netizen semakin peka dengan babak drama yang dilakonkan oleh selebriti tempatan terutama sekali jika ia membabitkan sentuhan antara wanita dan lelaki.
Dua hari lalu, juara Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae memuat naik video di TikTok situasi balik tabir salah satu babak lakonannya bersama Nadhir Nasar untuk siri Nusyuz Berkiblat Cinta yang sedang dalam penggambaran.
Menerusi drama berkenaan pemilik nama sebenar Shaza Nuriman Mohamad Zamri dan Nadhir melakonkan watak sebagai pasangan suami isteri. Pada bahagian kapsyen video berkenaan, wanita itu menjelaskan hero gandingannya tidak perlu untuk mengangkat dirinya.
Niat Shaza hanyalah berkongsi perkembangan semasanya serta secara tidak langsung mempromosikan drama lakonan mereka namun adegan berkenaan mendapat kritikan daripada netizen.
Nadhir yang menjuarai Hero Remaja 2020 digelar sebagai Zul Ariffin 2.0 kerana melakukan aksi sama yang sering dilakukan oleh pelakon lelaki terkenal itu. Walaupun babak berkenaan tidak mempunyai elemen 'panas' namun netizen mempertikaikan isu sentuhan antara dua individu yang tidak mempunyai pertalian darah.
Pada bahagian komen, ada antara peminat yang seakan-akan kononnya cemburu apabila Nadhir mendukung Shaza dan ada juga yang membayangkan mereka berada di tempat wanita itu.
Segelintir netizen menganggap komen sebegitu seolah-olah 'merestui' kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pelakon berkenaan serta mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga batas pergaulan. -CARI