Penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Justin Bieber yang bakal berlangsung di ibu negara pada 22 Oktober depan disambut dengan reaksi bercampur-baur rakyat Malaysia.
Ramai yang meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka, tak kurang juga yang menolak penganjuran acara berkenaan. Content creator yang juga personaliti dakwah, Iddin Ramli pada Khamis turut memuat naik satu video, berkongsi mengenai perbandingan harga tiket konsert berkenaan dengan bayaran kelas al-Quran pada bulan Ramadan.
Menurut Iddin, dia turut menawarkan banyak hadiah percuma buat mereka yang mendaftar masuk ke kelas tersebut. Tambahnya, yuran RM1.70 sehari selama sebulan bersamaan RM50 sahaja. Dalam pada itu, tindakan Iddin membuat perbandingan harga berkenaan turut mengundang kecaman netizen. Menurut sebilangan netizen, ia tidak wajar dibandingkan kerana peminat Justin Bieber di negara ini turut merangkumi orang bukan Islam. Terbaharu, Iddin pada Jumaat memuat naik permohonan maaf berhubung isu berkenaan. Tambah Iddin, dia tidak berniat menyakiti hati sesiapa dan akui penyampaiannya membuatkan sebilangan individu salah faham. Menurut Iddin, dia juga tiada niat untuk membuat promosi kelas al-Quran semata-mata dalam video itu. Malah katanya, dia hanya mahu memberi kesedaran sahaja dan mengajak orang ramai berfikir mengenai hal tersebut. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT