Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad yang sempat menonton video babak ghairah membabitkan aktor Zul Ariffin dan Siti Haries menyifatkan perkara itu sebagai satu ujian bukan hanya terhadap pelakon berkenaan tetapi juga buat diri sendiri.
"Apabila perkara itu terjadi, kita kena lihat dari sudut Allah tarbiah semua sekali. Yang salah seorang sahaja tetapi kita pula macam mana. Adakah kita rasa diri kita lebih baik atau kita akan doa memohon agar Allah menjauhkan kita daripada masalah seperti itu, memohon Allah tutup aib kita," katanya.
Tidak menafikan apa yang dilakukan itu salah namun menghentam pelakon itu bagaikan tiada hari esok sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut dalam diri Nabil apabila memikirkan khilaf sendiri.
Berdasarkan video temu bual Nabil bersama Mstar, dia percaya bahawa adalah lebih baik setiap individu mendoakan kebaikan buat Zul kerana doa-doa itu pada akhirnya akan berbalik pada diri sendiri.
"Kita manusia, bukan maksum. Apabila lihat orang lain buat salah, kita kena banyak doa kerana ia akan berbalik pada diri sendiri. Aib kita sendiri pun banyak tapi Allah tutup. Saya pun geram juga apabila melihat orang lain buat salah tapi aib kita macam mana?
"Kalau hentam orang itu kemudian Allah buka aib saya? Sebab itulah saya rasa adalah lebih baik kita doakan bukan hanya untuk Zul tetapi semua individu yang melalui ujian sedemikian.
"Saya petik semula ayat yang Ustaz Derry Sulaiman selalu pakai untuk tarbiah diri sendiri, katanya, 'sebaik-baik aku, baik lagi orang lain. Sejahat-jahat orang lain, jahat lagi aku'. Selalu salahkan diri sendiri dan jangan lihat kesalahan orang lain sahaja," kata Nabil.