Pendatang baharu Nina Smith memberitahu dia masih belum bertemu dengan pelakon dan penerbit Fauziah Ahmad Daud selepas isu meninggalkan set penggambaran pada Disember tahun lalu.
Biarpun menerima teguran yang agak kasar, namun Nina atau Amalina Smith masih terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Fauziah atau mesra disapa sebagai Ogy. "Saya belum bertemu dengan kak Ogy secara berdepan. Tapi Insya-Allah kalau jumpa dia, okay saja. Kali terakhir kami berhubung waktu isu itu berlaku saja. "Kalau ada peluang bekerja dengan dia pun, saya okay. Malah, kalau dia nak ajar saya berlakon lagi pun saya akan terima.
"Saya pun tak ada simpan apa-apa perasaan atau ambil hati. Sesiapa pun patut marah cuma apa yang saya buat itu, boleh dimaafkan," katanya kepada mStar.
Sebelum ini, nama Nina Smith menjadi perhatian selepas Ogy meluahkan rasa marah dengan tindakannya menarik diri daripada sebuah drama yang sedang dalam proses penggambaran. Menjelaskan perkara itu, Nina keadaan kesihatan bapanya yang merosot akibat serangan strok membuatkan dia mengambil keputusan menarik diri daripada drama Bunga Hati terbitan Zeel Production.
Menurut pelakon berusia 22 tahun itu, keputusan itu dibuat kerana bimbang tidak sempat bertemu bapanya yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) buat kali terakhir. Sementara itu, Nina berkata apa yang terjadi tidak memberi kesan buruk kepada kerjaya lakonannya malah dia banyak terima tawaran selepas apa yang berlaku.
"Sekarang ini, saya tak hirau apa yang terjadi... past is past. Sebenarnya, banyak lagi tawaran yang saya dapat selepas isu itu. "Apa yang saya buat bukannya sesuatu yang jahat, saya hanya pergi berjumpa bapa saya. Malah, saya tak rasa menyesal pun. Saya memang patut buat apa yang saya buat.
"Ada la segelintir pihak takut nak ambil saya bekerja, tapi Alhamdulillah, saya dikelilingi dengan orang-orang yang percaya bakat saya," ujarnya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|