Pasangan ini pernah diketawakan dan dihina pada awal perkahwinan mereka. Malahan, ada yang beranggapan rumah tangga mereka tidak akan bertahan lama dan menjalani kehidupan sukar.
Siapa sangka, hasil usaha keras, pelakon Aeril Zafrel menghadiahkan isterinya, Wawa Zainal sebuah bangunan yang dijadikan wisma bernilai RM3.2 juta.
Berdasarkan laporan Harian Metro, bangunan tiga tingkat itu juga menelan kos pengubahsuaian sebanyak RM2 juta dijadikan tempat perniagaan Wawa Cosmetic selain ruang pejabat dan gudang penyimpanan stok.
"Sejak dulu lagi kami memasang angan-angan ini. Walaupun banyak dugaan dan cabaran sejak awal perniagaan ini dijalankan tetapi akhirnya kami berjaya capai impian itu.
"Alhamdulillah, kami dapat buktikan bahawa kami juga boleh berjaya. Pengalaman lalu yang diketawakan dan dihina serta anggapan-anggapan orang, kami berjaya buktikan bahawa kami juga boleh berjaya," kata Wawa.
Rasa bagai bermimpi memiliki wisma sendiri, Wawa bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini.
Kata Wawa, memiliki bangunan sendiri bermaksud kini dia sudah ada tempat untuk mengadakan mesyuarat bersama reseller rangkaian kosmetik keluaran syarikatnya. - CARI