Puasa Ramadhan menjadi momen yang sangat ditunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, termasuk muslim di Malaysia. Pada tahun ini umat Islam masih lagi berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19. Namun pada bulan puasa kali ini, kita bakal menyambutnya dengan suasana sedikit berbeza kerana tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan. Malah, mulai 1 April ini solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serat Putrajaya kini dibenarkan tanpa had umur jika sudah menerima vaksinasi Covid-19 dan digalakkan membawa serta menggunakan sejadah sendiri.
Solat sunat tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan selain qiamullail termasuk majlis berbuka puasa, moreh dan sahur serta makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus. Nampaknya, tradisi dan tingkah laku norma sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa atau iftar dan solat sunat Tarawih secara beramai-ramai dapat diteruskan pada ramadhan kali ini. Malah, amalan tradisi dengan kembali ke kampung halaman untuk bersama-sama keluarga terdekat pada bulan suci ini juga dapat dilaksanakan. Pasti ramai yang tidak sabar menantikannya bukan? Setiap kali menjelang bulan mulia ini, umat Islam pasti mahu menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya, supaya kita boleh memasuki bulan Ramadhan dengan lebih tenang. Namun, bukan itu saja yang perlu kita fikirkan. Kita juga perlu mempersiapkan diri sebelum menyambut bulan mulia ini, barulah puasa lebih berkah dan banyak manfaatnya. Jadi, jom kita lihat antara persiapan diri yang perlu anda lakukan di bawah: 1. Bertaubat Sebaiknya, bertaubatlah sebelum memasuki bulan Ramadan supaya puasa anda lebih berkat. Malah, hati juga Insyaallah akan menjadi lebih tenang. 2. Perbaiki solat Solat adalah tiang agama. Sematkan di dada mulai hari ini untuk berubah mencukupkan waktu solat lima kali sehari jika sebelum ini anda sering culas melaksanakannya. 3. Melakukan ibadah tambahan Selain memperbaiki solat, perbanyakkan amalan sunat, membaca Al-Qur'an, berzikir, bersembahyang fardhu berjemaah di masjid, qiamulail dan seumpamanya. 4. Kurangkan mencarut atau berkata sesuatu yang tidak bermanfaat Dah nak masuk bulan mulia, marilah sucikan hati dan bersihkan mulut dengan mengelak dari mengeluarkan carutan dan makian. 5. Elak pembaziran Bulan Ramadan akan membuat kita lebih cenderung untuk membeli makanan lebih banyak kerana lazimnya nafsu bulan Ramadan memang tidak dinafikan makin membuak-buak. Oleh itu didiklah diri kita mengamalkan makanan yang seimbang dan bersederhana. Membanyakkan meminum air putih dan kita juga disunatkan bersahur bagi mendapatkan keberkatan. 6. Tidur mengikut waktu Ramai orang sekarang yang menjadi 'burung hantu' pada waktu malam dan apabila tiba waktu pagi badan merasa lesu kerana tidak cukup tidur. Akan tetapi perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadhan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. 7. Memperbanyakkan amal bersedekah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Sesungguhnya mukmin sejati itu dermawan. Anggaplah bulan Ramadan kali ini bukan sahaja perjuangan kita untuk menentang nafsu, lapar dan dahaga, tetapi juga perjuangan menentang virus COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia yang masih belum selesai. Ambilah peluang di bulan ini, dengan melipat gandakan amal ibadah dan mengamalkan cara hidup sihat. - CARI
|
ADVERTISEMENT