Pendirian kerajaan Selangor mengenakan cukai hiburan sebanyak 15 peratus ke atas semua persembahan pentas dan seni dalam keadaan sekarang disifatkan sebagai tidak adil.
Perkara itu dinyatakan pelawak komediri, Kavin Jay, yang juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri tergamak membebankan penganjur persembahan sepertinya dengan cukai tinggi sedangkan anak seni diketahui terpaksa bergelut dengan kesempitan ekonomi sepanjang dua tahun ini. Justeru, Kavin memohon kerajaan Selangor meneliti untuk melaksanakan pengecualian cukai bagi membantu penghibur berdepan tempoh sukar sehinggalah keadaan kembali pulih.
“Ini adalah perkara paling bodoh kerajaan negeri pernah buat. Hampir dua tahun anak seni tak boleh cari makan dengan adakan persembahan pentas. Tapi sekarang Selangor minta bayar cukai pula. "Kadar 15 peratus itu terlalu tinggi untuk penerbit macam saya yang kena tanggung semua kos sendiri,” katanya kepada Malaysiakini. Lebih mengecewakan, kata Kavin, 42, dia dikehendaki membayar caj cukai 15 peratus itu sebelum pihak berkuasa tempatan mengeluarkan lesen seperti yang dihadapinya untuk sebuah persembahan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Selangor pada bulan lalu. Katanya, hal itu menjadi masalah buat penerbit yang mempunyai modal kecil atau tiada modal langsung. “Mereka harus mempunyai modal yang cukup besar sekiranya nak adakan persembahan di Selangor. “Ini kerana jumlah itu perlu dibayar terlebih dulu menggunakan wang sendiri berdasarkan unjuran jualan tiket 100 peratus. Untung belum dapat tapi kena keluarkan wang sendiri dulu. “Purata margin keuntungan untuk satu-satu jualan tiket persembahan kira-kira 10 hingga 15 peratus. Jadi, keuntungan sebenar kami adalah negatif bila dah tolak kos produksi, promosi dan cukai,” katanya lagi. Tambah Kavin, meskipun penerbit boleh memohon bayaran balik jika jualan tiket tidak laku, proses itu boleh memakan tempoh yang lama. Isu ini dibangkitkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika perbahasan DUN pada 8 Disember lalu. Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah kemudian menjelaskan pelaksanaan cukai hiburan 15 peratus terhadap persembahan bertiket sebenarnya penurunan daripada kadar asal iaitu 25 peratus. Malaysiakini sudah cuba menghubungi Amirudin bagi mendapatkan maklum balas lanjut berkenaan isu yang diketengahkan. Sumber: MalaysiaKini
|
ADVERTISEMENT