Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nekad menamatkan kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 hari ini sebelum mendapatkan rawatan di hospital selepas terlibat dalam kemalangan, petang semalam.
Zahiruddin Zulkarnain, 18, memberitahu, keputusan itu diambil kerana kertas Bahasa Melayu adalah penting dan jika terlepas dia akan dikira gagal dalam peperiksaan berkenaan. “Saya tidak mahu gagal atau terpaksa mengulangi kertas peperiksaan ini, jadi walaupun berada dalam kesakitan sehingga tidak boleh duduk terlalu lama, saya nekad untuk menamatkan kertas Bahasa Melayu. “Walaupun perlu berhenti sekali-sekala untuk baring dan berehat, saya tidak kisah kerana semua persiapan untuk menjawab sudah dibuat,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjawab peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Masai 2 di sini hari ini. Zahiruddin menganggap kemalangan itu adalah satu ujian kecil dalam kehidupannya dan berharap akan segera pulih agar dapat menduduki peperiksaan SPM subjek lain bersama rakan-rakan. Dia yang menetap di rumah keluarga di Taman Kota Masai di sini memberitahu, kemalangan itu berlaku pada pukul 6.40 petang semalam ketika sedang menunggang motosikal menuju ke Stulang untuk bertemu saudaranya. Menurutnya, ketika dalam perjalanan di Lebuh Raya EDL menghala ke pusat bandar raya Johor Bahru, dia dihimpit dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah lori. “Cuaca ketika itu hujan dan saya berada di tengah-tengah antara sebuah kereta dan sebuah lori yang seakan-akan menghimpit saya menyebabkan saya terpaksa tekan brek secara mengejut sebelum terjatuh. “Ketika terjatuh itu saya hampir digilis tayar lori berkenaan, namun mujur sempat mengelak. Tetapi akibat kemalangan itu saya mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan dan sakit di bahagian pinggang,” katanya. Justeru, Zahiruddin berharap agar kesihatannya segera pulih dan tiada kecederaan lanjut bagi membolehkan dia melakukan yang terbaik untuk peperiksaan SPM, sekali gus menyambung pengajian dalam bidang automotif tercapai. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT