Aktif dengan aktiviti 'review' filem sama ada tempatan mahupun luar negara, Zhafvlog cukup terkenal dengan kata-kata pedas setiap kali mengkritik naskhah yang dirasakan kurang 'umph'.
Baru-baru ini, Zhaf menulis pandangan peribadinya di Twitter terhadap garapan keseluruhan filem Syahadan yang disifatkan sebagai filem tanpa maruah dan hina.
Zhaf turut mendakwa Astro enggan menerima filem berkenaan untuk ditayangkan menerusi saluran Astro First kerana karya berkenaan terlalu sampah.
Menerusi bebenang berkenaan, Zhaf juga membandingkan Syahadan dengan filem Geran yang ditayangkan pada 2019 diterajui oleh Namron, Azlan Komeng dan Fad Anuar.
Walaupun menerima ugutan gara-gara kritikan berkenaan, Zhaf sedikit pun tidak gentar malahan meneruskan rutin harian seperti biasa.
Terdahulu, aktivis Yusuf Azmi tampil menerusi sebuah rakaman mengatakan Zhaf telah menghina dunia seni bela diri silat yang menjadi kebanggaan orang Melayu.
"Saya tidak nafikan sesiapa saja boleh memberikan kritikan. Buatlah apa nak buat, nak kutuk ke apa tiada masalah. Tapi ada kaedah.
"Saya nak berjumpa dan berdepan dengan anda. Saya nak tanya, apa yang anda marah sangat pada dunia persilatan," kata Yusuf.
Pengarah Nazreen Jefrizal turut berkongsi video dirinya yang menyelar tindakan Zhaf. Menerusi rakaman berkenaan, Nazreen berkata, mesej itu adalah khas untuk vlogger berkenaan dan pengikutnya.
"Follower kau yang serang aku kat IG pun guna fake account. Nak bagi pendapat wakil diri sendiri pun tak boleh. Hipokritnya korang ni. Sial. Kasihan.
"Korang kata korang kritik untuk membangunkan industri. Kalau zaman perang dunia kedua dahulu, korang kira tali barut yang bunuh bangsa sendiri," kata pengarah itu.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang bersetuju dan menyokong usaha Zhaf melakukan 'review' filem-filem baharu.
Memetik laporan Getaran, warga maya berpendapat bahawa sudah tiba masa pembikin mahupun penggiat seni bersikap terbuka untuk menerima kritikan seperti mana komen lantang diberikan kepada pengkarya lain termasuklah nyanyian, lakonan dan sukan. - CARI