Butterworth: "Pada awalnya saya reda bila barang kemas tersilap buang itu tidak ditemui, namun siapa sangka Wira Oren (pekerja am Majlis Bandaraya Seberang Perai) sanggup berkorban masa dan tenaga mereka membantu menggeledah timbunan sampah untuk mencari sehingga ditemui semula," kata Rohaya Ismail.
Rohaya, 31, yang juga anggota polis di Balai Polis Telok Ayer Tawar, di sini, berkongsi mengenai perkara itu melalui Facebook (FB) miliknya sehingga tular dan mendapat perhatian warganet yang memuji tindakan mulia sekumpulan pekerja MBSP itu. Menurutnya, kejadian bermula apabila dia yang membuang lampin pakai buang anaknya tidak menyedari turut terbuang sekali satu beg kecil mengandungi sejumlah emas miliknya yang dibeli dan disimpan sejak berusia 18 tahun. "Barang kemas itu sangat bermakna kerana saya bukan berasal dari keluarga senang. Ayah meninggal dunia masa usia saya 14 tahun dan saya cuba mengumpul emas itu sedikit demi sedikit semasa bekerja kilang untuk kegunaan masa terdesak. "Saya tidak tahu macam mana boleh terbuang, sebaliknya sedar beg kecil itu hilang pada 7.45 pagi semalam dan masa itu memang rasa hendak menangis sebab emas itu begitu berharga. "Kebetulan abang saya ingin pergi buang sampah pada 9 pagi hari sama dan saya minta dia tolong cari, tetapi tidak jumpa. Abang pergi berjumpa lori MBSP tidak jauh dari kuarters yang saya didiami yang mereka (pekerja) minta pergi ke depo pembersihan di Tasek Gelugor," katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, dia tidak menaruh harapan tinggi sama ada barang kemas miliknya itu ditemui semula, tambahan pula bukan mudah untuk mencarinya disamping tidak boleh sewenang-wenangnya kerana perlu mengikut prosedur. Katanya, dia reda jika tiada rezeki serta serahkan semua urusan kepada Allah. "Saya tidak sangka MPSP dari pihak atasan sehingga bawah sanggup berkorban masa dan tenaga untuk turun mencari dalam timbunan sampah yang begitu banyak. "Tidak lama kemudian (1.30 tengah hari) abang saya menghubungi menerusi panggilan video menunjukkan barang kemas saya ditemui semula dalam satu beg plastik hitam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga buat sekumpulan Wira Oren dan perasaan ini tidak terungkap dengan kata-kata. "Walaupun pekerjaan mereka (Wira Oren) ada yang pandang serong, tetapi bagi saya mereka adalah wira negara yang ikhlas serta jujur apabila sanggup berkorban mencari barang kemas saya sehingga jumpa," katanya yang merahsiakan nilai keseluruhan barang kemas miliknya itu. Terdahulu, hantaran wanita itu tular di media sosial dengan mendapat ribuan tanda suka dan dikongsi ratusan pengguna FB. Menurut posting itu, wanita terbabit turut memberikan sedikit sagu hati kepada pekerja MBSP berkenaan sebagai tanda penghargaan selepas bertungkus lumus menggeledah, mengorek dan mencari emas miliknya dalam timbunan sampah sehingga ditemui. -CARI Sumber: Harian Metro |
BeskotCekelat replied at 21-2-2022 02:23 PM
Kes baru terjadi ke ni? Rasa macam pernah terbaca kes macam ni lama dulu
BeskotCekelat replied at 21-2-2022 02:23 PM
Kes baru terjadi ke ni? Rasa macam pernah terbaca kes macam ni lama dulu
clarizsa replied at 21-2-2022 03:53 PM
Yg tu kes lain rasanya tp mcm sama
ADVERTISEMENT