Kerajaan wilayah Jiangsu di China akan menyiasat “secara terperinci” video seorang wanita dirantai di leher, lapor stesen televisyen kerajaan pada Khamis.
Ia berikutan kemarahan orang ramai atas pengabaian pihak berkuasa. Kes itu terbongkar akhir bulan lalu selepas sebuah klip video dimuat naik ke media sosial menunjukkan wanita terbabit dirantai dalam kesejukan.
Video lain menunjukkan suami wanita itu menyenaraikan nama lapan anak yang dikatakan dilahirkan mereka. Video itu kemudian tular di media sosial dan mendorong pihak berkuasa bandar dan daerah di wilayah Jiangsu menjalankan siasatan. Tetapi, kemarahan awam tercetus selepas pihak berkuasa pada mulanya mendakwa wanita itu menghidap penyakit mental dan menolak cadangan pemerdagangan manusia. Tetapi, pihak berkuasa kemudian memaklumkan mereka menahan tiga individu termasuk suami wanita itu atas kesalahan pemerdagangan manusia, menyebabkan kemarahan awam semakin memuncak dengan pengkritik membidas cara pengendalian siasatan itu. Ia turut mencetuskan perdebatan terhadap pengendalian kes pemerdagangan manusia di China, khasnya di kawasan luar bandar sekitar bandar Xuzhou di Jiangsu, di mana isu itu yang tersebar meluas didokumenkan selama bertahun-tahun. Pengguna media sosial turut membandingkan perhatian kurang diberikan terhadap kes wanita itu berbanding tindakan kerajaan dan media menyanjung atlet negara itu, seperti juara ski, Eileen Gu, sempena Olimpik Musim Sejuk yang sedang dianjurkan Beijing. Beberapa individu mendakwa mereka alumni Universiti Peking dan Universiti Zhejiang, beberapa institusi pendidikan terkemuka di China, melancarkan petisyen dalam talian menggesa China mengkaji semula cara pihak berkuasa tempatan mengendalikan kes itu, walaupun ia kemudian dipadam pihak berkuasa pada Rabu. Beberapa wartawan penyiasat China turut menerbitkan laporan mengenai kes itu, mendedahkan dokumen yang mempertikaikan kesimpulan pihak berkuasa tempatan. CCTV pada Khamis melaporkan kerajaan Jiangsu memutuskan untuk menubuhkan sebuah pasukan bagi menyiasat kes itu secara menyeluruh bagi mencari kebenaran dan menghukum individu bertanggungjawab terhadap tindakan jenayah itu. Sumber: FMT
|
ADVERTISEMENT