Petaling Jaya: Pura-pura terminum air mengandungi racun sebelum dikejarkan ke sebuah hospital. Itu helah digunakan seorang wanita berusia 18 tahun untuk memperdaya suaminya, 22, selepas keluar 'dating' dengan seorang lelaki baru dikenalinya.
Bagaimanapun penipuannya itu memakan diri apabila pemeriksaan doktor mendapati wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Menurut sumber, semuanya bermula apabila wanita berusia 18 tahun itu memberitahu suaminya yang dia datang ke Petaling Jaya bersama kakaknya dan menginap di sebuah hotel di sini.
"Dia sebenarnya bertemu dengan rakan lelaki yang baru dikenalinya. Bimbang perbuatannya terbongkar mangsa mula mereka cerita mendakwa diberi minuman (mengandungi) racun oleh seorang lelaki sehingga dia terpaksa dikejarkan ke hospital," katanya. Sumber itu berkata, suami wanita terbabit yang mempercayai dakwaan isterinya itu segera tampil membuat laporan di Balai Polis Damansara kelmarin mengenai kejadian berkenaan. "Namun hasil pemeriksaan doktor mendapati wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sebaliknya sihat sebelum ia membongkar penipuan wanita terbabit," katanya. Sementara itu, mengulas perkara sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dibuat suami kepada wanita terbabit. "Bagaimanapun hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak benar. Mangsa bimbang perbuatannya disedari suami selepas bertemu dengan rakan lelaki yang baru dikenalinya itu sebelum mereka cerita," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT