Bakal mengusahakan pusat pengajian agama sendiri, Faizal tidak menyangka permintaan mentua untuk membangunkan dan menguruskan pusat pengajian agama khusus untuk warga emas dipermudahkan.
Kata Faizal, proses pembinaan bangunan asrama dan dewan belajar bertempat di Kuala Selangor itu bagaimanapun dijangka siap tiga tahun lagi. Dia sangat menghargai keikhlasan pemilik tanah yang memberikan kepercayaan dengan mewakafkan lokasi berkenaan.
"Atas permintaan mentua, saya dan isteri mencari tempat mengaji untuk warga emas di Lembah Klang. Rupanya, tidak banyak pusat pengajian seperti itu di sini berbanding di sebelah utara.
"Kami mula mencari lokasi mengikut kriteria mentua. Walaupun lambat tetapi Allah memudahkan urusan kami dan dipertemukan dengan seorang ustaz yang menawarkan tanah untuk saya bina pondok sebaik saya nyatakan tujuan," kata Faizal.