Menjangkau angka 21 tahun pembabitan di persada seni tanah air, kumpulan 'psychedelic rock' iaitu Pretty Ugly kini hadir dengan sebuah album istimewa buat peminat mereka.
Penyanyi merangkap pemain gitar rythm, Neves berkata, album terbaharu berjudul Pretty Ugly 21 ini mengandungi 11 buah lagu. "Ia adalah album kelima Pretty Ugly yang diterbitkan selepas album 'Abstrak Versi Fantasi' 2001, 'Transformasi Ke Stereo' 2003, 'Rockaholic' 2006 & 'Darabkan Sejuta' 2011. "Berlainan dengan album-album terdahulu, album Pretty Ugly 21 adalah rakaman semula lagu-lagu yang dimainkan di radio dan juga di televisyen.
"Boleh dikatakan semua lagu yang terkandung di dalamnya pernah menjadi hit, antaranya CD Bagasi Honey, Francis Ford Coppola, Nanti. En Ronald Moore dan Superstar. "Kami juga memuatkan lagu Jangan Kau Mimpi dan Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun COVID Melanda di dalam album Pretty Ugly 21 ini. "Jangan Kau Mimpi hasil ciptaan saya sepenuhnya, dirakam semula sebagai 'tribute' buat Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, akibat Covid-19. "Lagu ini diterbitkan oleh saya yang pernah dimuatkan dalam album Sarah berjudul Mimpi Pun Sama," katanya. Sementara itu, lagu Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun Covid Melanda pula adalah sebuah karya baharu mengisahkan mengenai bagaimana sepasang kekasih menempuh dugaan hidup di kala pandemik Covid-19 berlaku. "Album ini diberi nama Pretty Ugly 21 bukan saja untuk meraikan 21 tahun Pretty Ugly berada di persada muzik 'arus perdana' Malaysia, tapi juga kerana album ini dihasilkan pada tahun 2021. "Buat masa ini, album Pretty Ugly 21 hanya dipasarkan secara digital sejak 31 Januari lalu. Namun pada masa akan datang, kami juga merancang untuk memasarkannya dalam bentuk fizikal pula," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT