Shah Alam: Aktif menawarkan perkhidmatan 'susuk moden' melalui laman sosial Instagram bagi memancungkan hidung serta memastikan wajah berkedut menjadi muda semula 20 tahun.
Rawatan estatik menggunakan cecair vitamin C, hydroquinone, botox dan hormon membabitkan caj ribuan ringgit itu bagaimanapun dikesan ditawarkan menggunakan produk tidak berdaftar selain oleh pakar tidak bertauliah. Difahamkan pengendali pusat kecantikan itu yang popular dalam kalangan wanita kaya amat berhati-hati apabila hanya memberikan 'rawatan' kepada pelanggan yang sudah diberikan temujanji awal. Kegiatan haram itu bagaimanapun dibongkar apabila Cawangan Penguatkuasa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melakukan serbuan terhadap sebuah premis kecantikan yang menawarkan perkhidmatan pelbagai rawatan kecantikan menggunakan produk-produk estetik disyaki tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam. Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, premis terletak di Petaling Jaya itu didapati menjadi tumpuan ramai wanita dan golongan selebriti tanpa menyedari bahaya menanti. "Dalam serbuan itu, 19 produk dianggarkan bernilai lebih RM5,000 dirampas. "Modus operandi pusat kecantikan itu dengan menjalankan perniagaan melalui pengiklanan di Instagram dan pelanggan diberikan temujanji rawatan melalui atas talian," katanya. Menurutnya, antara perkhidmatan estetik ditawarkan adalah filler, vitamin C secara suntikan air ke dalam tubuh dan suntikan botox. "Semua perkhidmatan dilakukan oleh mereka yang tidak berkelayakan dengan menggunakan produk tidak berdaftar dan tidak diperakui oleh KKM. "Jika ianya dibiarkan berleluasa tanpa kawalan, saya khuatir ia membahayakan nyawa orang ramai susulan kesan buruk dan mudarat dari produk digunakan," katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut akta sama. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT