Dua pempengaruh media sosial TikTok warga Tunisia mencetuskan kemarahan orang ramai selepas berkongsi video perjalanan dengan sengaja menyeberangi laut secara haram dan memuat naik beberapa gambar sedang berbelanja mewah di Eropah.
Lapor Daily Mail, Chaima Ben Mahmoude, 21, memuat naik video yang memaparkan dia melambai tangan bersama tunangnya di dalam sebuah bot sesak dengan pendatang ketika merentas dari Tunisia ke Itali. Dalam rakaman itu, Chaima kelihatan tersenyum bersama 23 pendatang lain sambil menari lagu rap ketika dalam perjalanan merentasi Mediterranean.
Pelayaran merentasi Mediterranean Tengah merupakan perjalanan paling berbahaya di dunia dengan lebih 17,000 kematian dan kehilangan pendatang yang direkodkan sejak 2014. Ribuan pelarian terpaksa mengambil laluan berbahaya itu untuk melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan di negara asal. Chaima yang memiliki hampir 140,000 pengikut di TikTok mendakwa dia terpaksa melakukan perjalanan sejauh 188 kilometer (km) itu kerana tidak mendapat gaji yang lumayan Katanya, dia hanya memperoleh kira-kira 90 pound (RM510) untuk sebulan dari dandanan rambut di Tunisia. Chaima dan tunangnya tiba di Lampedusa, Itali dan kemudian mengembara sekitar bandar Eropah itu. Mereka turut memuat naik gambar berbelanja mewah termasuk mengambil swafoto di menara Eiffel dan menaiki kereta BMW. Rakyat Tunisia mengkritik tindakan Chaima dengan menyindirnya ‘orang lain mati untuk teruskan kehidupan, tapi anda sengaja cari publisiti’. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT