Alor Setar: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai ditetak pada tangan dan muka sebelum dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mayat lelaki tanpa identiti yang berusia 40-an itu ditemukan di bawah sofa dan tilam yang terbakar di dalam bilik tingkat atas bangunan terbabit. Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja di sini menerima panggilan berhubung kebakaran di bangunan panggung wayang terbiar itu.
Katanya, anggota bomba yang melakukan operasi memadam kebakaran itu kemudian menemukan mayat lelaki tersebut. “Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan tetakan di tangan dan muka mayat yang dipercayai dibunuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. Suresh berkata, hasil siasatan di lokasi turut menemukan sebilah pisau di bawah bangunan tersebut. Tambahnya, polis percaya kejadian tersebut dipercayai membabitkan lebih seorang suspek, namun tidak membabitkan kumpulan samseng. “Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berada sekitar lokasi pada pukul 9.15 pagi bagi membantu siasatan. “Anggota polis mengesan suspek yang berada sekitar bangunan dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sebelum ini,” jelasnya. Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk pemeriksaan lanjut. – CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT