Melaka: "Apa yang berlaku ini amat menyayat hati kerana membabitkan anak kandung dan darah daging sendiri. Ini akibatnya jika tidak dapat kawal emosi," kata Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin.
Beliau diminta mengulas kejadian wanita berusia 22 tahun dan bayinya berusia empat bulan yang melecur akibat disimbah minyak panas oleh suami sendiri, Jumaat lalu. Kejadian dikatakan berlaku apabila suami mangsa, cemburu dan mengesyaki isterinya menjalin hubung sulit sebelum berlaku pertengkaran di rumah didiami di Semabok Dalam, Semabok, di sini.
Mangsa serta bayinya yang cedera terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan. Menurut Kalsom, kes seumpama itu belum pernah berlaku di negeri ini dan amat berharap ia dijadikan iktibar oleh masyarakat khususnya pasangan muda supaya tidak berulang pada masa depan. "Nasihat saya kepada ibu bapa di luar sana, khususnya pasangan muda jadikan kejadian satu iktibar. "Lindungilah anak-anak, zuriat kita... mengapa kita harus letakkan kemarahan dan emosi kita kepada mereka. Ini agak membimbangkan saya, jika marah sekalipun kawal emosi. Apapun saya tidak boleh mengulas panjang dan serahkan kepada polis melakukan siasatan seadilnya," katanya ketika melawat ketiga-tiga anak mangsa berusia, enam, empat dan dua tahun di rumah adik perempuannya di sini. Mengulas lanjut Kalsum berkata, setakat ini keadaan kesihatan dua beranak itu yang dirawat di Hospital Melaka (HM) baik dan stabil seperti dimaklumkan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. "Saya sebolehnya mahu melawat ibu dan bayi itu bagi mengetahui keadaan kesihatan mereka namun, dimaklumkan lawatan tidak digalakkan buat masa ini kerana kes Covid-19 yang meningkat," katanya lagi. Dalam pada itu, beliau berkata, JKM negeri akan memberi kaunseling dan motivasi bagi memulihkan trauma dialami mangsa selepas siasatan selesai. "JKM memang ada kaunselor namun sekarang kes masih dalam siasatan polis dan saya tidak dibenar bercakap atau berjumpa mangsa. "InsyaAllah dalam masa terdekat ini selepas selesai siasatan, saya akan berjumpa mangsa," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT