Usahawan yang juga peserta Big Stage 2022, Iqbal Zulkefli, menegaskan kehadirannya dalam program pertandingan nyanyian berkenaan adalah rezeki buatnya dan tidak patut dipertikaikan.
Dalam sesi temu bual bersama Mstar, penyanyi lagu Hujan itu juga menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin menyertai program berkenaan perlu bijak mencari peluang dan 'menjual' diri dengan sikap yang baik.
"Bercakap pasal layak tak layak, saya rasa ramai lagi orang di luar sana yang lebih berbakat. Kenapa saya terpilih, itu adalah rezeki saya. Tak boleh juga cakap 'kenapa dia, kenapa bukan saya?' Kita kena terima hakikat yang ini adalah rezeki saya.
"Jangan pertikaikan saya. Fikirkan pasal diri sendiri. Jangan ada sifat menafikan rezeki orang walaupun saya tahu, saya bukan bagus menyanyi pun, tapi ini rezeki saya. Nak buat macam mana," katanya.
Mengakui malu dan tertekan dengan kecaman dan kritikan diterima, Iqbal mengharapkan agar ada pihak yang terus memberikan kata semangat agar dia dapat memberikan persembahan menarik pada malam konsert minggu kedua nanti.
"Saya bukanlah mahu dengar orang puji suara saya sedap sebab saya sendiri tahu kemampuan diri. Tetapi, cukup sekadar berikan sokongan moral untuk stabilkan emosi. Saya masih ada tugasan terakhir yang perlu saya laksanakan pada malam Ahad nanti. Sekurang-kurangnya, biarlah saya dapat menyanyi dengan sedikit kemas," katanya.
Kata Iqbal lagi, dia bercadang untuk meninggalkan program berkenaan kerana enggan mencalarkan reputasi pertandingan berkenaan. Dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk menjadikan platform berkenaan sebagai medan mencari publisiti mahupun populariti.
"Selepas persembahan minggu kedua, saya sendiri tidak pasti sama ada mahu teruskan atau tarik diri. Tetapi, kalau saya tidak layak, buang sajalah," katanya.
Iqbal dihujani kecaman selepas menyampaikan lagu Biarlah Bulan Bicara pada konsert pengenalan berlangsung minggu lalu. - CARI