Sudahlah dilahirkan dengan serba kekurangan, dituduh pula menyamar sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
Begitulah pahit getir dalam kehidupan seorang pemuda OKU yang menghidap penyakit saraf cerebral palsy sejak bayi. "Abang, tak baik buat-buat cacat," demikian antara komen selepas dia memuat naik video bagi menghiburkan pengikutnya di laman sosial. Pemuda berkenaan, Zaid Harithah Jamil berkata, dia menghidap cerebral palsy selepas mengalami demam panas ketika berusia dua bulan.
Anak muda yang baru menyambut ulang tahun ke-30 pada 2 Februari lalu ini mengakui sedih menerima komen-komen negatif yang mendakwa dirinya berlakon sebagai cacat. "Saya sedih, tapi ramai yang komen negatif tu adalah budak-budak. Ada juga yang buat macam tu menggunakan akaun palsu, jadi saya abaikan. "Alhamdulillah lebih ramai yang support. Saya memang suka bergurau dengan followers menerusi video atau live dengan ketawa," katanya kepada mStar. Lebih dikenali sebagai Zaid Hensem, katanya, dia menggunakan platform media sosial untuk membuat video dan live sebagai sumber pendapatannya. "Saya buat video-video sebab nak berkongsi maklumat dan menghiburkan orang. Saya nak tunjuk bahawa OKU juga boleh hasilkan content. "Pada masa sama, saya mahu lebih ramai OKU mempunyai keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai," ujarnya yang berasal dari Kampung Tengah di Pulau Pangkor, Perak. Selain menghiburkan lebih 77,000 pengikutnya di aplikasi TikTok, pemuda itu turut berkongsi fakta-fakta menarik mengenai aspek keagamaan. "Di TikTok dah ramai ustaz buat ceramah dan video hiburan. Jadi saya buat video fakta-fakta untuk berkongsi pengetahuan saja. "Saya sendiri selepas solat Subuh mesti tengok program Tanyalah Ustaz di TV9 selain membaca dan layan media sosial," tambahnya. Menurut anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, kehidupannya diuruskan oleh ibu bapanya berikutan pergerakannya yang terbatas dengan menggunakan satu tangan. "Rutin harian saya biasa saja, cuma banyak diuruskan dengan bantuan mak dan ayah. Saya juga selalu mencari bahan-bahan untuk video dan melakukan senaman," katanya yang menggunakan tagline ‘Dapat Sesuatu Bayar Bayar Bayar’ dengan nada bergurau dalam menghargai sokongan pengikutnya. Meskipun dirinya berstatus OKU, Zaid turut mengimpikan untuk bergelar sebagai influencer yang memberi content bermanfaat manfaat dan menghiburkan orang ramai. "Saya juga mahu menceburi perniagaan terutama dalam bidang makanan kerana saya sendiri suka makan seperti gulai tempoyak dan ayam masak kurma. "Sudah tentu saya mengharapkan lebih ramai OKU tampil di TikTok dan orang ramai menghormati dan memberi sokongan kepada kami. "Kepada followers, terima kasih kerana sudi menyokong, like, komen dan kongsi serta beri kata-kata semangat dan selalu mendoakan saya. Hanya Allah yang dapat membalasnya," katanya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT