Tasha Shilla mengumumkan dia kini hamil anak kedua dan usia kandungan sudah masuk tujuh minggu. Dia sendiri tidak menyangka akan hamil sekali lagi ketika anak sulungnya baru berusia 10 bulan.
"Saya tidak sedar pun hamil. Tetapi sebelum ini saya ada terlepas cakap 'hamil juga'. "Suami pun pelik kenapa saya cakap 'juga'? Mungkin anak dalam kandungan pun seakan memberitahu dia sudah ada. "Saya sendiri pelik terlepas cakap sebegitu. Jadi kami beli alat pengesan kehamilan dan kemudian buat pemeriksaan di klinik," katanya kepada mStar Online.
Pelakon ini juga perasa anak sulungnya iaitu Raess Zander sering dilihat menghisap ibu jari kakinya. "Ada juga orang yang mula perasan anak pertama saya asyik gigit ibu jari kaki. Kata orang itu petanda nak dapat adik," katanya.
Sebelum ini di Instagram Tasha dilihat bercuti ke sana ke mari. Dia amat bersyukur percutian berkenaan tidak mendatangkan masalah kepada kandungannya.
"Banyak juga tempat kami lawati. Malah sejak Disember lalu kami sekeluarga sering bercuti. "Saya hamil dalam tempoh bercuti itu. Syukur tidak ada sebarang masalah." Tasha pernah berniat untuk kembali aktif berlakon apabila anak pertamanya mencecah usia dua tahun namun nampaknya terpaksa ditangguh lagi memandangkan dia dah hamil.
"Keutamaan saya pastinya sekarang ini adalah untuk keluarga. "Pernah terfikir untuk kembali berlakon apabila anak pertama mencecah usia dua tahun, tetapi rasanya terpaksa tangguh lagi," katanya.
Tasha mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Atiq pada Februari 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raess Zander yang kini berusia 10 bulan. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|