Penyanyi Janet Jackson buat pertama kali mendedahkan dirinya pernah berkecil hati dengan usikan abangnya, Michael Jackson yang menggelarnya dengan panggilan babi, lembu dan kuda.
Memetik laporan The Sun, perkara itu awalnya dianggap jenaka namun apabila Michael selalu memanggilnya dengan gelaran itu, Janet terasa hati apatah lagi dia mempunyai masalah berat badan sejak usianya 11 tahun.
Janet berkongsi kenangan itu menerusi dokumentari Lifetime dan A&E Networks bersempena sambutan ke-40 album pertamanya berjudul Janet Jackson yang diterbitkan pada 1982.
"Ada satu ketika, Mike mengejek dengan memanggil saya dengan nama haiwan. Kami sama-sama ketawa dengan jenakanya sehinggalah sampai satu tahap, usikan itu mengguris hati dan perasaan.
"Apabila seseorang mengatakan fizikal kita terlalu berat, ia memberikan kesan mendalam. Saya adalah individu yang meredakan tekanan emosi dengan makan.
"Saya mula berhadapan masalah kegemukan selepas berlakon dalam siri televisyen Good Times," katanya.